KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan terima kasih kepada atlet paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin kerana menghadiahkan Keluarga Malaysia pingat emas pertama di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, hari ini.

“Terima kasih Bonnie Bunyau Gustin kerana menghadiahkan Keluarga Malaysia pingat emas bagi acara angkat berat lelaki.

“Anda kebanggaan kami apabila lagu Negaraku berkumandang dan bendera Jalur Gemilang berkibar di bumi Jepun,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Ismail Sabri turut tidak melupakan jurulatih Bonnie yang membantu atlet kelahiran Sarawak itu memenangi emas.

Pagi tadi, Bonnie menamatkan penantian empat hari kontinjen negara dengan memenangi pingat emas sulung dalam acara powerlifting dalam kelas 72 kilogram (kg).