SIMPANG RENGGAM – Menyedari penularan Covid-19 memberi kesan kepada rakyat, sebanyak 3,800 kilogram (kg) ayam telah diagihkan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang yang tinggal di dalam kawasan Zon Simpang Renggam hari ini.
Sumbangan melalui Program Prihatin Covid-19 ini turut merangkumi dua pasukan barisan hadapan iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 dan Jabatan Penjara Simpang Renggam.
ADUN Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyampaikan sumbangan itu kepada wakil Jabatan Penjara Simpang Renggam menerusi program yang sama.
Menurutnya, pengagihan bantuan bekalan makanan itu telah diberi kepada kira-kira 8,200 penghuni rumah di dalam DUN berkenaan.
“”Insya-Allah beberapa siri bantuan akan diberikan secara berperingkat dari masa ke masa bagi membantu masyarakat disini sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19 ini.
“Diharapkan ianya dapat membantu meringankan beban keluarga untuk menjalani kehidupan harian apatah lagi mereka yang amat terkesan dengan pendamik ini,” katanya baru-baru ini.
Terdahulu, Onn Hafiz turut mengagihkan 4,500 kilogram ayam kepada keluarga kurang berkemampuan di Pekan Layang-Layang dan Renggam.
Katanya, penyampaian bantuan berupa ayam segar adalah kesinambungan daripada bantuan yang telah diberikan sebelum ini.
“Bantuan seperti ini akan terus dilaksanakan secara berperingkat dan ianya dilakukan semata-mata untuk memastikan penduduk di kawasan saya yang mempunyai keperluan bagi mereka menjalani kehidupan harian.
“Selain bantuan seperti ini, kami juga sentiasa mengambil cakna permasalahan setiap keluarga agar mereka yang benar-benar terkesan dapat diberikan bantuan sewajarnya,” katanya.-MalaysiaGazette