KUALA LUMPUR – Pusat Pemberian Vaksin World Trade Centre Kuala Lumpur (PPV WTCKL) mencatat sejarah tersendiri hari ini apabila merekodkan pemberian suntikan kesejuta kepada penduduk Lembah Klang.
Jumlah itu adalah di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak mula beroperasi pada 5 Mei lalu dan PPV pertama di negara ini mengendalikan pemberian vaksin yang mencecah satu juta dos.
Menurut kenyataan dikeluarkan, angka itu secara tidak langsung menyumbang kepada usaha pemulihan negara untuk mencapai perlindungan yang dikehendaki dan membawa Malaysia keluar daripada cengkaman pandemik Covid-19 demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat.
“Dibuka khas untuk pengendalian vaksin AstraZeneca, PPV WTCKL merupakan PPV Mega pertama diwujudkan dengan kapasiti awal 8,000 dos sehari sebelum ditingkatkan kepada 18,000 dos suntikan pada 19 Julai lalu.
“PPV WTCKL ini beroperasi setiap hari termasuk cuti umum seawal jam 8.30 pagi sehingga 9 malam dan sehingga semalam sejumlah 997,291 dos vaksin telah diberikan melibatkan 645,011 dos satu dan 352,280 dos dua.
“Pencapaian penting PPV WTCKL ini adalah hasil usaha sama jalinan yang baik antara agensi awam dan swasta, di mana pengendalian operasinya melibatkan anggaran sebanyak 360 petugas kesihatan dan bukan kesihatan setiap hari,” kata kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, PPV berkenaan diketuai Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan dibantu 13 penyelaras serta 14 petugas yang terdiri daripada penjawat awam daripada pelbagai kementerian.
Sementara itu, ProtectHealth Corporation bertindak sebagai pelaksana bagi penglibatan pengamal perubatan swasta yang dikenali sebagai Health Care Organizer (HCO).
Tiga HCO yang terlibat sebagai petugas kesihatan di PPV WTCKL adalah BP Healthcare, Bookdoc dan U.N.I Klinik.
Operasi di PPV WTCKL turut melibatkan sukarelawan kesihatan yang terdiri daripada agensiagensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Mereka turut disokong oleh sukarelawan daripada Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC).
Petugas WTCKL juga sama membantu dalam operasi PPV itu dan merupakan sebahagian daripada sukarelawan bukan kesihatan.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh pengoperasian selama 115 hari sehingga hari ini, petugas di PPV itu terus komited dan memberi kerjasama yang tinggi sepanjang bertugas agar tindakan pantas dapat diambil untuk menyelesaikan segala isu berbangkit.
“Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dan percaya semangat tinggi disaksikan masa kini akan terus diperhebatkan demi memenangi perang melawan Covid-19 ini,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette