Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – UMNO Johor Bahru mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama dengan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KWKM) untuk berkongsi data bagi memastikan mereka yang menjalani kuarantin di rumah mendapat bantuan.

Ketua UMNO bahagian itu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, kementerian masing-masing boleh menggunakan khidmat klinik kesihatan daerah dan Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKM) bagi tujuan itu.

“Alangkah baiknya jika KKM melalui klinik kesihatannya berkongsi data mereka yang diperintah untuk berkuarantin di rumah dengan KWKM melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat.

“Apabila dua kementerian ini berkongsi data, mereka yang menjalani kuarantin di rumah boleh mendapat barang keperluan daripada PKM untuk sepanjang tempoh kuarantin.

“Buat masa ini, mereka yang dikena perintah kuarantin ditinggalkan begitu sahaja. Dahlah mereka tidak boleh keluar rumah untuk membeli-belah, tidak tahu pula kalau mereka mempunyai keupayaan kewangan untuk membeli-belah,” kata menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau memberi contoh, lebih seratus isi rumah yang menjalani kuarantin di rumah dibantu dengan bekalan barang keperluan oleh badan kebajikan dan pemimpin masyarakat.

Katanya, pihak yang menghulurkan bantuan pula tidak mempunyai data mereka dikuarantin menyebabkan ada sumbangan tidak sampai dengan betul.

“Sebab itu, untuk memerangi pandemik Covid-19 ini tidak boleh diuruskan hanya dari pusat, tetapi perlu kepada penyelarasan di pusat dan dilibatkan jentera di bawah,” katanya. – MalaysiaGazette