Rodzi Md. Saad

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mengeluarkan senarai lokaliti yang akan diletakkan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 1 hingga 14 September ini.

Senarai yang disahkan oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad itu melibatkan tujuh lokaliti masing-masing di Sabah, Kelantan dan Pahang.

Menurut beliau, di Sabah melibatkan Kampung Lotong, Kota Marudu dan Kampung Penangan di Tongod.

Manakala di Kelantan, Kampung Kata Tual, Kampung Tok Uban dan Kampung Kubang Kerian dalam Mukim Olak Jeram, Kuala Krai.

Di Pahang pula melibatkan Kampung Batu Papan dan Kampung Batu Papan Tengah.

“Hanya satu lokaliti dilanjutkan tempoh PKPD selama dua minggu lagi sehingga 14 September ini, iaitu Kampung Hidayat, Batu 4, Tawau, Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, enam kampung iaitu satu di Pahang dan lima di Tawau, Sabah ditamatkan pelaksanaan PKPD bermula esok.

Lokaliti itu ialah Kampung Luit, Maran, Pahang dan Kampung Mentadak Baru Pulau Sebatik, Kampung Sri Aman Batu 3 ½ Jalan Apas, Taman Semarak Jaya, Lorong Damai Jalan Damai, Lorong Haji Marzuki Jalan Damai di Tawau dan Kampung Kuala Abai di Kota Belud, Sabah. – MalaysiaGazette