Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah South African B.1.351 Covid-19 variant
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Daripada 19,268 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 399 kes atau 2.1 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 18,869 kes atau 97.9 peratus lagi adalah daripada kategori 1 dan 2, yang direkodkan berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19.

“Ada antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Keseluruhan 14,664 kes atau 76.1 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi. Orang ramai perlu dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius.

“Diharapkan ini akan mengurangkan jangkitan Covid-19 dalam negara, terutama kes di kategori 3 hingga 5,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, daripada 295 kes kematian hari ini pula melibatkan 81 kes di Selangor, 47 kes di Johor, 42 kes di Sabah, 36 kes di Kedah, 23 kes di Pulau Pinang, 13 kes di WP Kuala Lumpur, 12 kes di Perak, 11 kes di Terengganu, masing-masing tujuh kes di Pahang dan Kelantan, masing-masing lima kes di Negeri Sembilan, Sarawak, dan Melaka, serta satu kes di Perlis.

Mengenai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau RO/RT, Dr. Noor Hisham berkata, berdasarkan data terkini sehingga semalam, nilai RT Malaysia adalah 1.01.

Kata beliau, negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Sarawak iaitu 1.24, diikuti Perlis (nilai 1.20) dan Sabah (nilai RT 1.14).

“Semua negeri mencatatkan nilai RT melebihi 1.0 kecuali Pahang, Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, WP Labuan dan Negeri Sembilan.

Beliau menasihatkan orang ramai termasuk individu yang telah menerima vaksin Covid-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan KKM.

Katanya, patuhlah kepada SOP sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian, sekali gus membina imuniti kelompok.

“Dengan pengambilan vaksin, kita dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan Covid-19 dan dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi seperti kanak-kanak dapat dilindungi. – MalaysiaGazette