Dua Jalur Gemilang gergasi dipasang di ibupejabat TNB di Bangsar, Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Kebangsaan.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan amalan memasang Jalur Gemilang di semua premis dan stesen janakuasa serta janaelektriknya di seluruh negara sempena sambutan Hari Kebangsaan esok.

Ibu pejabatnya di Bangsar di sini, dipasang dengan dua bendera gergasi bersaiz 20 x 80 kaki persegi sejak 31 Julai lalu.

Turut dipasang lebih 200 Jalur Gemilang pelbagai saiz di pekarangan Kompleks Ibu Pejabat TNB termasuk sekeliling pagar luar, sekitar Kompleks Balai Islam An Nur dan Jalan Kelab Kilat atas rasa bangga dan kesyukuran membangun bersama rakyat dan negara.

Sambutan tarikh keramat kemerdekaan pada 31 Ogos ini juga tambah bermakna bukan sahaja sejajar peranannya sebagai Penggerak Kemajuan Negara, malah kerana TNB sendiri menyambut ulang tahun kewujudannya yang ke-72 tahun pada 1 September ini, sehari selepas rakyat meraikan Hari Kebangsaan ke-64.

Tema Hari Kebangsaan kali ini “Malaysia Prihatin” secocok dengan nilai teras keluarga besar 35,000 warga kerja TNB dengan iltizam dan aspirasi berterusan menerangi kehidupan yang lebih sejahtera.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, TNB menawarkan insentif khas Sinaran Merdeka untuk pelanggan perdagangan.

Insentif diberikan selama dua bulan bagi penggunaan elektrik pada Ogos dan September ini sebagai galakan kepada pelanggan perdagangan menerangi bangunan dan kawasan persekitaran dengan lampu hiasan.

TNB juga memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini menerusi filem ‘Raikan Malaysia Kita’ bagi memaparkan semangat positif rakyat dalam mengharungi pandemik Covid-19.

Filem animasi mengisahkan empat individu yang sarat emosi itu telah mula ditayangkan pada 24 Ogos 2021. – MalaysiaGazette