Mohamed Farid Mohamed Zawawi

KUALA LUMPUR – Suspek yang dikaitkan dengan kematian seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Ipoh, Perak semalam bukan ketua atau ahli Armada Bersatu Kota Bharu.

Dakwaan itu disangkal Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang juga Ketua Bersatu Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

Kata beliau, hasil semakan, Ketua Armada Bersatu Kota Bharu ialah Mohd Ekhwan Mohd Hatta bukan nama lelaki atau suspek yang dikaitkan dengan insiden memukul pengawal keselamatan itu.

“Lelaki itu bukan Ketua Armada Bersatu Kota Bharu atau ahli Bersatu Kota Bharu kerana beliau sudah tidak aktif dengan parti ini di bahagian negeri atau pusat.

“Kita simpati dengan kejadian itu. Apa pun kita serahkan kepada polis dan sistem perundangan serta kehakiman negara.

“Semoga keluarga mangsa mendapat keadilan melalui proses perundangan,” katanya kepada media di Kota Bharu hari ini.

Sebelum ini tular satu video yang memaparkan seorang pengawal keselamatan diserang seorang lelaki dalam kejadian di sebuah kondominium di Ipoh, Perak.

Bagaimanapun, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan hasil semakan mendapati, kejadian itu berlaku pada 29 Disember lalu dan polis sudah menahan suspek untuk siasatan.

Katanya, siasatan hasil mendapati, kejadian itu berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana cuba menghalang anaknya menggunakan kolam renang yang ketika itu tidak dibuka kepada orang ramai.

Suspek kemudian dikaitkan dengan parti Bersatu, yang dikatakan memegang jawatan Ketua Armada Bersatu Bahagian Kota Bharu.

Menurut Mohamed Farid, dakwaan itu tidak benar kerana suspek yang pernah bertanding pada pemilihan parti itu tidak terpilih.

“Saya rayu orang ramai tidak menularkan berita yang tidak benar ini, selain menghormati keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang,” katanya.

Sementara itu, polis telah merujuk semula kes itu kepada pihak pendakwa raya hari ini dengan mencadangkan pertuduhan yang lebih tinggi dikenakan kepada suspek.

Polis mengklasifikasikan semula kes itu pada hari mangsa meninggal dunia di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Kes itu masih lagi menunggu arahan selanjutnya daripada pihak Pendakwa Raya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pukul pengawal keselamatan diklasifikasi sebagai kes bunuh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast