KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Kedah akan menjalankan siasatan lebih mendalam mengenai insiden seorang pesakit Covid-19 yang jatuh dan meninggal dunia di wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, semalam.
Pengarahnya, Dr. Othman Warijo berkata, orang ramai tidak sepatutnya menularkan video mengenai kejadian itu kerana ia akan menimbulkan prasangka dan kekeliruan berhubung punca kejadian.
Katanya, ahli keluarga pesakit yang meninggal dunia juga telah dimaklumkan oleh pihak hospital mengenai kejadian itu dan menerima baik penjelasan yang diberikan.
Menurut beliau, video itu bukan sahaja tular di media sosial, malah dilaporkan oleh beberapa media atas talian petang semalam, mengenai seorang pesakit lelaki yang jatuh dan meninggal dunia dalam wad hospital berkenaan.
“Pesakit adalah seorang warga emas yang telah dimasukkan ke wad HSAH pada 26 Ogos lalu setelah dirujuk oleh Pusat Penilaian Covid-19 Daerah Kuala Muda.
“Beliau mempunyai sejarah beberapa penyakit kronik dan dijangkiti Covid-19 Kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen.
“Sepanjang berada di wad, keadaan pesakit kurang stabil dan memerlukan tekanan oksigen yang semakin tinggi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Bagaimanapun, kata Dr. Othman, pesakit ketika itu kelihatan tidak selesa dengan alat bantuan oksigen yang dipakaikan dan keadaannya sentiasa dipantau dengan lebih kerap oleh petugas kesihatan yang boleh bertutur dalam bahasa ibunda pesakit bagi memantapkan komunikasi.
Ujarnya, pada hari kejadian, setelah Pegawai Perubatan dan jururawat selesai melakukan rondaan wad pada sebelah pagi, mereka kemudian menanggalkan pakaian PPE pada jam 1.45 tengah hari.
Namun, pada jam 2.25 petang, petugas wad diberitahu oleh pesakit lain, seorang pesakit telah jatuh dari katil.
“Selepas mendapat makluman itu, Pegawai Perubatan yang bertugas terus bergegas memakai PPE lengkap dan melakukan pemeriksaan ke atas pesakit yang ketika itu terbaring di lantai wad.
“Proses memakai PPE mengambil masa kira-kira 5 minit dan ketika itu, pesakit didapati tiada lagi tanda-tanda hidup.
“Pesakit kemudian dinaikkan semula ke katil dan disahkan meninggal dunia. Punca kematian mendiang adalah Severe Covid-19 Pneumonia,” katanya.
Beliau berkata, Pakar Perubatan kemudian telah berjumpa dengan ahli keluarga mendiang pada petang yang sama dan menjelaskan situasi sebenar kejadian.
Kata Dr. Othman, ahli keluarga sememangnya telah maklum keadaan pesakit yang kian merosot sebelum itu dan menerima baik penjelasan yang diberikan pihak hospital.
“Kita mengucapkan taziah kepada keluarga mendiang dan kesal atas penularan video berkenaan yang tidak sepatutnya berlaku.
“Jabatan ini juga memohon agar masyarakat umum menghormati ahli keluarga mendiang dan menghentikan penularan video tersebut.
“Siasatan mengenai insiden itu kini sedang dijalankan dan kita mengambil tindakan penambahbaikan yang diperlukan,” katanya. – MalaysiaGazette