PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-64 yang diadakan di Dataran Pahlawan Putrajaya, pagi ini secara atas talian.
Ini berikutan beliau sedang menjalani kuarantin di rumah kerana kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19 pada Ahad lalu.
Ismail Sabri bersama isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin termasuk jutaan rakyat Malaysia yang tidak dapat hadir secara fizikal, menyaksikan sambutan itu di hadapan televisyen yang disiarkan secara langsung.
Tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia Prihatin” disambut secara sederhana tanpa perarakan atau perbarisan raksasa oleh pelbagai jabatan, agensi dan NGO sebagai mana sebelum ini.
Antara menteri yang hadir secara fizikal di Dataran Pahlawan Putrajaya untuk menyaksikan formasi ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Turut hadir ialah Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim; dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Pertunjukan dan persembahan yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan (KKM) diadakan dalam norma baru dan SOP yang ketat.
Pengisian sambutan ialah nyanyian lagu keramat Negaraku, bacaan ikrar, formasi ATM dan badan beruniform.
Sambutan selama hampir satu jam dari 8 hingga 9 pagi itu diakhiri dengan pertunjukan udara yang mempamerkan pesawat canggih milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Dalam Perutusan Hari Kebangsaan malam tadi, Perdana Menteri kesembilan itu mengajak semua pihak membulatkan tekad untuk bersamanya memulihkan negara.
Katanya, cabaran yang sedang dihadapi negara ketika ini belum pernah ditempuhi oleh mana-mana pemimpin dan kerajaan sebelum ini.
Negara dan rakyat kini berdepan beberapa cabaran serentak iaitu wabak penyakit serta kegawatan ekonomi yang menggugat kestabilan politik tanah air serta di seluruh dunia. – MalaysiaGazette