Amirudin menyampaikan sumbangan 20,000 dos vaksin kepada Kon Yeow di PPV SP Arena, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Sebanyak 20,000 dos vaksin Covid-19 secara percuma diberikan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mengelakkan lonjakan kes positif berlaku seperti di Selangor sebelum ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan dos vaksin itu juga diharapkan mampu membantu masalah kelewatan bekalan vaksin yang dihadapi negeri-negeri berisiko tinggi.

“Selangor mencatatkan lonjakan kes Covid-19 sebelum program vaksinasi dilakukan secara menyeluruh jadi kita tidak mahu perkara sama berlaku bukan saja di Pulau Pinang malah di beberapa negeri yang berisiko.

“Selain itu, kita telah capai jumlah penurunan hampir 50 peratus pengurangan katil di hospital-hospital sekitar Selangor selepas program vaksinasi menyeluruh dilaksanakan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Kon Yeow bersama Amirudin selepas meninjau PPV di SP Arena di sini, hari ini.

Terdahulu, mereka meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di SP Arena di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Exco Agroteknologi, Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihaknya memberi pilihan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan dos vaksin secara berulang atau ‘one-off’.

“Pemberian itu bergantung kepada kestabilan bekalan vaksin di Pulau Pinang, namun Ketua Menteri (Kon Yeow) memaklumkan Kementerian Kesihatan sudah menghubunginya dan menjanjikan kestabilan bekalan vaksin,” kata beliau.

Sementara itu, Chow Kon Yeow menyifatkan sumbangan tersebut sebagai simbol solidariti kedua-dua negeri dalam ‘memerdekakan’ tanah air tercinta daripada ancaman Covid-19.

“Bagi mempercepatkan kadar vaksinasi Covid-19 agar rantaian penularan diputuskan, Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan hasrat untuk meminjamkan stok 500,000 vaksin SelVAX kepada Pulau Pinang dan negeri-negeri lain pada 19 Ogos lalu.

“Sumbangan yang kita terima hari ini memberi manfaat kepada 10,000 penduduk di Pulau Pinang,” kata Kon Yeow. – MalaysiaGazette