Lelaki warga Ghana yang bertindak terjun ke dalam sebuah tasik di belakang kelab komuniti sejurus menyedari kehadiran JIM yang melakukan serbuan di Cyberjaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga Ghana nekad terjun ke dalam tasik sejurus menyedari kehadiran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan di sebuah kelab komuniti di Cyberjaya dekat sini hari ini.

Kejadian itu berlaku semasa serbuan itu dilakukan sekitar pukul 1 petang tadi, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Kedua-dua mereka bekerja di kelab berkenaan, katanya.

“Pegawai yang menjalankan operasi terpaksa terjun ke dalam tasik di belakang kelab berkenaan untuk menahan warga asing terbabit.

“Kedua-dua lelaki warga Ghana itu ditahan akibat gagal mengemukakan sebarang dokumen atau pas sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, JIM berjaya menahan seramai 26 warga asing menerusi Op Merdeka yang dijalankan di sekitar ibu negara dan Selangor.

Operasi membabitkan sepasukan 20 pegawai Unit Operasi Khas (QRT) Putrajaya itu dijalankan sejak semalam sehingga pukul 1 petang hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah hotel lama yang dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti pelacuran di Pudu.

Antara wanita warga asing yang ditahan menerusi serbuan Op Merdeka yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di Pudu.

Menurut beliau, premis berkenaan telah berulang kali diserbu namun didapati masih menjalankan aktiviti tidak bermoral melibatkan warga asing.

“Semasa serbuan, terdapat cubaan melarikan diri oleh warga asing di premis itu namun usaha meloloskan diri berjaya digagalkan.

“Seramai 63 individu telah diperiksa di premis tersebut dengan 12 daripadanya telah ditahan terdiri daripada lima wanita warganegara Vietnam dan tujuh lelaki warganegara Bangladesh.

“Operasi seterusnya dijalankan di kawasan Puchong, Selangor kira-kira pukul 1 pagi melibatkan pemeriksaan ke atas dua buah kediaman. Seramai 21 individu telah diperiksa dengan lima lelaki warganegara Bangladesh, seorang lelaki dan enam wanita warganegara Indonesia ditahan ekoran gagal mengemukakan sebarang dokumen atau pas yang sah semasa pemeriksaan dilakukan,” katanya.

Jelas beliau, selain tangkapan 26 warga asing, seramai empat warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk disiasat atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette