Shahrol Shiro (kiri) dan Hans Isaac.

KUALA LUMPUR – Pelawak, Shahrol Shiro menyelar tindakan pelakon Hans Issac yang didakwa menyindir barisan Kabinet baharu kerajaan menerusi satu hantaran video baru-baru ini.

Shahrol yang Exco Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Johor berkata, video yang dimuat naik oleh Hans dipercayai ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai sindiran memandangkan ia dikongsi selepas pengumuman barisan Kabinet baharu.

“Barisan yang dipilih diyakini mampu bekerja dengan baik. Jika Hans menjadi pemimpin pun, sudah tentu barisan yang dipilihnya adalah individu yang beliau senang bekerja dan saya yakin salah satunya adalah Afdlin Shauki.

“Lihat sahajalah dalam realiti bagaimana dia banyak bekerjasama untuk menghasilkan karya kerana dia yakin Afdlin dapat melakukan tugas dengan baik.

“Jika pada pandangannya tidak sama dalam politik, dia pun telah menarik bersama Afdlin turut serta dalam parti dia. Bukankah itu untuk membentuk kerjasama atau pasukan untuk menjayakan agenda parti kamu?” soalnya atau nama sebenar, Shahrol Azizie Azmi.

Shahrol berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik menerusi Instagramnya miliknya.

Pada Ahad lalu, Hans telah memuat naik video memperlihatkan seorang penceramah dipercayai dari Indonesia mendakwa dalam jenakanya bahawa pemilihan menteri dibuat hanya bertanyakan soalan sifir dua darab dua.

Video yang dikongsikan oleh Hans dengan kapsyen bertulis ‘beri pendapat anda’ itu telah mendapat jumlah tontonan sebanyak 50,000.

Selain itu, Shahrol berpandangan, sememangnya Kabinet terkini merupakan barisan kitar semula namun memberi hujah ketika zaman pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, rakyat terpaksa hidup dalam kesengsaraan.

“Kita sudah beri peluang barisan Kabinet yang 90 peratus muka baru sewaktu zaman PH tapi rakyat sudah cukup sengsara waktu itu. Janji minyak turun, tol dihapuskan, pendidikan percuma adalah ungkapan penyedap halwa telinga semata. Adakah mungkin kerana zaman itu PM yang kitar semula?

“Maaf Hans, saya yakin kamu tidak akan koyak kerana kamu sudah berada di dalam dunia politik. Lagi pun politik bukannya untuk mereka yang berjiwa nipis. Selamat menyambut kemerdekaan ke-64 Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast