Petugas Kesihatan mengendalikan jenazah pesakit Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette Foto AFFAN FAUZI, 08 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Angka korban akibat Covid-19 bertambah lagi dengan hari ini sebanyak 330 kematian dilaporkan.

Jumlah itu meningkat berbanding semalam iaitu 249 kes menjadikan jumlah kumulatif yang meninggal dunia setakat ini adalah 17,521 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, terdapat 259,189 kes aktif dengan 463 daripada 975 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) memerlukan bantuan pernafasan.

“Seramai 22,399 pesakit pulih, menjadikan keseluruhan 1,528,672 daripada 1,805,382 pesakit Covid-19 sudah sembuh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Noor Hisham memaklumkan, negara merekodkan pertambahan kes positif baharu Covid-19 dengan 19,378 kes dilaporkan hari ini.

Katanya, Selangor terus mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi dengan 3,613 kes.

Ia diikuti Sarawak (2,464), Sabah (2,404), Johor (2,331), Pulau Pinang (1,726), Kedah (1,470), Perak (1,389), Kelantan (1,356), Kuala Lumpur (740), Pahang (559), Terengganu (532), Melaka (399), Negeri Sembilan (270), Perlis (80), Putrajaya (41) dan Labuan (4).

Daripada jumlah kes baharu itu, 14 ialah kes import manakala, 19,364 kes penularan tempatan. – MalaysiaGazette