Mayat Roshidi dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.

KEPALA BATAS – Perjalanan pulang seorang lelaki selepas mengambil kambing peliharaannya di kawasan sawah padi berakhir dengan tragedi selepas dia terkorban dalam satu kemalangan di Jalan Rantau Panjang, di sini, semalam.

Mangsa, Roshidi Jahaya, 38, disahkan maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian leher.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 11.55 malam.

Noorzainy.

“Hasil siasatan mendapati mangsa yang juga pekerja kilang itu menunggang motosikal jenis Honda Ex-5 dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas mengambil kambingnya di kawasan sawah padi.

“Bagaimanapun, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sekali gus menyebabkan mangsa terjatuh dan maut di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Noorzainy, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas dan proses bedah siasat akan dibuat selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette