Sebanyak RM 21,450 dapat dikumpulkan dalam tempoh 10 hari yang merupakan hasil sumbangan daripada pengusaha-pengusaha stesen minyak Petron Wilayah Utara.

KUALA LUMPUR – Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Petron Wilayah Utara mengambil inisiatif dengan menggerakkan misi bantuan kepada mangsa banjir di Yan, Kedah.

Program itu melibatkan semua Pengusaha Stesen Minyak Petron di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis untuk membantu meringankan beban mangsa banjir kilat akibat tragedi kepala air pada 18 Ogos lalu.

Wakil Pengusaha Stesen Minyak Petron Wilayah Utara, Haruni Md Hassan berkata, melalui kempen Petron Bantu Yan, sebanyak RM21,450 dapat dikumpulkan dalam tempoh 10 hari yang merupakan hasil sumbangan daripada pengusaha-pengusaha stesen minyak Petron Wilayah Utara.

“Hasil sumbangan ini telah di bahagikan kepada dua peringkat bermula dengan program fasa pertama yang telah dilaksanakan pada 26 Ogos lalu di mana sebanyak 70 keluarga sekitar Merbok, Kedah telah menerima sumbangan berupa barangan makanan dan keperluan dapur seperti beras, minyak masak, gula, garam, sardin, susu krimer, rempah ratus, kicap, sos dan air mineral.

“Untuk program fasa kedua pada hari ini, seramai 200 keluarga di sekitar Yan menerima sumbangan merangkumi pemberian keseluruhan barangan dapur gas dua burner (100 unit), baucar LPG Gasul (100 keping), pek barangan keperluan dapur (30 unit)
air mineral (10 karton) dan T-shirt Petron (400 helai),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sumbangan turut berupa barangan makanan dan keperluan dapur seperti beras, minyak masak, gula, garam, sardin, susu krimer, rempah ratus, kicap, sos dan air mineral.

Haruni menambah, menerusi slogan ‘Jom Bantu’, misi bantuan banjir ini juga merupakan sebahagian daripada Program Khidmat Sosial (CSR) Pengusaha Stesen Minyak Petron dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir kerana ada antara mereka ini merupakanpelanggan kami di Kedah.

Bahkan jelas yang merupakan pengusaha stesen minyak Petron Juru Ramp (F1) di Seberang Perai, Pulau Pinang, ada antara pengusaha stesen juga adalah penduduk Yan dan ini menyebabkan daerah itu begitu dekat di hati mereka

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih buat Pegawai Daerah Yan, Penghulu Mukim Yan dan semua Pengusaha Stesen Minyak Petron Wilayah Utara kerana telah bekerjasama dengan baik untuk menghulurkan sumbangan kepada penduduk di Merbok dan Yan.

“Meskipun, turut terkesan dengan pandemik Covid-19, kami para pengusaha stesen minyak Petron di Wilayah Utara telah bersatu-padu untuk menjayakan program ini.

Bersama kita lebih teguh. Terima kasih kepada Petron Malaysia atas sokongan dalam menjayakan program ini. Menariknya, sebelum ini Petron telah banyak menganjurkan program CSR dan kami menyambung usaha ini dengan program ‘Petron Bantu Yan’, katanya. – MalaysiaGazette