Monday, December 16, 2024
Home Sukan Trek licin, Dek Wan akui hampir terjatuh

Trek licin, Dek Wan akui hampir terjatuh

Atlet olahraga paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (kanan) beraksi dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik hari ini.
TOKYO – Permukaan trek yang licin disebabkan hujan renyai membasahi Stadium Olimpik sejak awal pagi tadi menyekat impian Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi untuk mempertahankan emas dimenangi di Rio 2016.
Bertanding dalam acara 100 meter (m) lelaki T36 (kecacatan fizikal), Mohamad Ridzuan yang memulakan larian dengan baik pada 50m pertama, mengakui keadaan trek licin menyebabkan beliau hampir terjatuh pada 10m terakhir perlumbaan.
“Saya dah buat yang terbaik, kalau tak licin boleh dapat pingat…sikit saja lagi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas aksinya hari ini.
Biar pun mengakhiri kempen kedua Paralimpik tanpa sebarang pingat, semangat pelari berusia 33 tahun yang mesra dengan panggilan ‘Dek Wan’ masih membara untuk menyertai kejohanan mendatang termasuk Paris 2024.
Sehubungan itu, beliau yang mengalami palsi serebrum juga tekad untuk merampas kembali pingat emas dimenangi oleh atlet China, Deng Peicheng dalam acara itu.
Selain merangkul emas, Peicheng berjaya memadam rekod Paralimpik milik jaguh Australia, James Turner, yang dilakukan pada peringkat saringan kedua semalam iaitu 11.87s, dengan rekod baharu 11.85s dalam aksi final pagi tadi.
James, yang merupakan pemegang rekod dunia dengan catatan 11.72s dalam kejohanan dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 2019 terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan masa 12.00s.
Pingat gangsa pula milik Alexis Sebastian Chavez dari Argentina yang melakukan catatan masa 12.02s.
Mohamad Ridzuan sebelum ini mencipta sejarah apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik sejak negara mula menyertai temasya berprestij itu pada edisi 1972 di Heidelberg, Jerman, menerusi acara sama di Rio 2016.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast