Witan Sulaeman. Foto media sosial Lechia Gdańsk.

KUALA LUMPUR – Indonesia terus menambah koleksi pemain mudanya yang mendapat kepercayaan kelab Eropah apabila bintang muda negara jiran itu, Witan Sulaeman sah menyertai kelab Poland, Lechia Gdańsk.

Berita itu dikongsikan oleh Lechia dalam satu pengumuman rasmi di laman media sosial kelab itu.

Witan telah menandatangani kontrak selama dua musim dan bakal memakai jersi bernombor 80 bagi mengharungi saingan musim 2021/2022.

Sebelum menyertai Lechia, Witan pernah beraksi bersama kelab Serbia, FK Radnik Surdulica.

Pemain berusia 19 tahun itu boleh beraksi di beberapa posisi antaranya pertahanan kiri dan juga sayap kiri sekali gus menjadi kelebihan untuk dirinya dalam usaha menembusi kesebelasan utama.

Witan menggantikan seorang lagi bintang muda Indonesia iaitu Egy Maulana Vikri yang beraksi bersama Lechia selama dua musim sebelum kontraknya tamat pada pertengahan tahun ini.

Egy menyarung jersi nombor 10 sepanjang beraksi bersama Lechia dan dia menampilkan prestasi yang baik bersama skuad pembangunan.

Egy juga beberapa kali beraksi bersama skuad utama termasuk pada perlawanan Polish Super Cup 2019 apabila dia dimasukkan sebagai pemain gantian yang mana Lechia memenangi perlawanan dengan keputusan 3-1. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast