Khairul Shahril Mohamed.

KUALA LUMPUR –  Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed mengumumkan akan meletak jawatannya susulan prestasi buruk pasukan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Perak berbuat demikian berikutan desakan kuat penyokong selepas pasukan itu tersingkir ke Liga Perdana tahun hadapan.

Khairul Shahril menyatakan pendiriannya itu melalui hantaran WhatsApp yang tular dalam kalangan penyokong.

Menerusi hantaran itu beliau memohon maaf atas sikap berdiam diri serta mengaku turut bertanggungjawab atas kegagalan pasukan itu.

“Saya akan meletakkan jawatan dalam Perak FC dan PAFA dengan kadar segera, memang satu perkara yang telah lama saya hasratkan. Bagaimana pun, saya berjanji akan membantu sukan bolasepak ini selaku Exco Belia & Sukan negeri Perak sedaya mungkin.

“Saya memahami kemarahan, makian, nasihat, saranan dan semua yang kalian lakukan adalah tanda penzahiran akan rasa kasih dan sayang kepada pasukan Perak yang tercinta ini. Terima kasih atas sokongan padu dan berterusan dari anda semua,” ujarnya dalam hantaran WhatsApp itu.

Sementara itu, Pengurus Besar (GM) Perak FC, Azman Noh mengesahkan mengenai hasrat Khairul Shahril. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast