Wan Anwar Wan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor menyambut baik pelantikan dua pemimpin parti itu dari peringkat negeri untuk menjawat jawatan Naib Presiden dan Bendahari.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sebagai Naib Presiden dan Exco Kerajaan Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, Izham Hashim sebagai Bendahari.

Menurut Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Wan Anwar Wan Ibrahim, pelantikan itu membuktikan Amanah sebagai sebuah parti politik akan terus relevan dalam landskap politik negara.

Kata beliau, dua pemimpin itu bukan sahaja berwibawa sebagai generasi kedua pimpinan Amanah, malah mempunyai rekod perjuangan yang terbukti sejak awal penubuhan parti, di samping latarbelakang organisasi sangat meyakinkan.

“Adly adalah Pengerusi Amanah Melaka dan Ketua Menteri Melaka ke-11 yang telah mentadbir negeri itu dengan sangat cemerlang.

“Izham pula adalah Pengerusi Amanah Selangor dan kini merupakan Exco kanan Kerajaan Selangor yang merupakan negeri termaju di Malaysia.

“Saya percaya pelantikan kedua-dua tokoh ini akan terus memacu Amanah terus ke hadapan dalam mendepani politik arus perdana negara,” katanya di sini, hari ini.

Pelantikan itu diumumkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu bagi mengisi kekosongan jawatan Naib Presiden yang sebelum ini dipegang oleh Datuk Husam Musa.

Pelantikan Adly selaras dengan aspirasi Amanah untuk menampilkan lebih ramai pemimpin pelapis bagi menerajui kepimpinan parti dan negara di masa hadapan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. dah tu takan nak lantik nuar brahim plak.. kenyataan pun blh tahan jugak puak amanah ni

Comments are closed.