Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tengah) diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din (kanan) menyerahkan replika cek sumbangan Tanggungjawab Sosoal Korporat (CSR) TNB bagi mangsa banjir yang bernilai RM100,000 kepada Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit (kiri) dalam Lawatan Kerja Menteri ke Kedah di Pusat Operasi Bencana, Titi Hayun, Yan, Kedah, pada Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi sumbangan sumbangan RM100,000 untuk membantu mangsa bencana kepala air Gunung Jerai, Kedah pada Sabtu lalu.

Sumbangan tersebut disampai oleh Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyerahkan cek sumbangan kepada Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit di Pusat Operasi Bencana, Titi Hayun, Yan.

Turut hadir sama pada majlis penyerahan itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

TNB dalam satu kenyataan berkata, Takiyuddin turut meninjau usaha TNB memulihkan aset dan infrastuktur bekalan elektrik yang rosak dan terjejas ekoran tanah runtuh akibat kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.

“Beliau turut menyantuni warga kerja syarikat utiliti elektrik negara itu yang masih giat melakukan kerja-kerja membaik pulih.

“Pada masa sama, TNB juga telah menyediakan janakuasa bergerak untuk membekalkan elektrik sementara kepada semua pengguna terjejas sehingga bekalan elektrik dipulihkan sepenuhnya,” katanya kenyataan itu.

 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (dua kiri) diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din menyantuni warga kerja TNB di kaki Gunung Jerai dalam Lawatan Kerja Menteri KeTSA ke Kedah.

Kejadian kepala air itu telah mengakibatkan banjir kilat dan limpahan air deras yang telah merosakkan kawasan kediaman dan infrastruktur utama selain meragut enam nyawa penduduk.

Bencana itu turut membabitkan beberapa buah kampung dan kawasan peranginan di sekitar daerah Yan, Gurun dan Merbok di Negeri Kedah.

Sementara itu, majlis penyerahan sumbangan itu turut dihadiri Pegawai Daerah Yan Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Limau Ustaz Mohd Azam Abdul Samat dan Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar. – MalaysiaGazette