Caprice

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil semula penyanyi rap tanahair, Ariz Ramli atau Caprice jika ada keperluan untuk membantu siasatan berhubung misi kemanusiaan membabitkan pendakwah terkenal Ebit Lew di Semenanjung Gaza, Palestin Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata,  pihaknya perlu menunggu arahan lanjut daripada Bukit Aman sebelum bertindak dalam perkara tersebut.

“Ya, Kita akan panggil dia (Caprice) jika ada keperluan (untuk sambung keterangan semula),” katanya kepada MalaysiaGazette secara ringkas sebentar tadi.

Tambah beliau, apa pun tindakan lanjut dalam kes ini, pihaknya terlebih dahulu akan mendapatkan nasihat daripada Bukit Aman dan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) terlebih dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN:

 

Semalam Ashari mengesahkan kertas siasatan membabitkan Caprice dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang dilengkapkan telah diserahkan kepada IPK Kuala Lumpur.

“Selepas selesai disemak dan dikemaskini oleh IPK, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan arahan lanjut,” katanya.

Keterangan Nadir dan Caprice telah diambil pegawai penyiasat kes berkenaan menerusi emel dengan menghantar semua soalan kepada kedua-dua individu berkenaan yang ketika itu berada di luar negara.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 500 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 19 Julai lalu, Ebit  membuat laporan polis sekitar jam 6 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dengan menamakan Caprice dan Nadir antara beberapa individu untuk disiasat selepas didakwa memfitnah beliau dalam soal misi kemanusiaan di Gaza.

Tiga hari kemudian Ebit  hadir semula ke IPD sama untuk dirakam keterangan sebagai saksi bagi membantu isu Gaza.

Ebit dalam laporan sama menafikan dakwaan Muhammad Nadir yang kononnya pihaknya membayar ratusan ribu dolar kepada syarikat Hala untuk memasuki Gaza bagi melaksanakan misi kemanusiaannya kepada rakyat Palestin dan menyifatkan dakwaan itu tidak berasas serta firnah melampau yang perlu disiasat polis.- MalaysiaGazette