Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Kenaikan mendadak harga ayam secara borong dalam tempoh sebulan menyebabkan pengusaha restoran dan katering di Terengganu kini tertekan, kerana terpaksa menyerap kenaikan kos tersebut dalam perniagaan mereka.

Pemilik Pak Awi Nasi Ayam Muhammad Adam Zawawi, 27, berkata harga ayam secara borong ialah RM5.80 satu kilogram (kg) pada 1 Ogos lepas namun naik kepada RM7.40 pada 1 Sept dan meningkat lagi hingga RM8 hari ini.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memantau perkara itu, kerana kenaikan harga ayam ketika ini agak luar biasa kerana selalunya ia hanya berlaku pada musim perayaan.

“Kalau harga naik mendadak musim raya kita faham sebab permintaan yang terlalu banyak…tapi kali ini pembekal tidak memberi sebarang alasan munasabah.

“Saya guna 220kg ayam setiap hari untuk dua cawangan restoran…memang sangat terasa dengan situasi ini, kalau berterusan naik hingga RM9 mungkin saya terpaksa kurangkan pekerja untuk minimakan kerugian,” katanya.

Pemilik restoran ayam goreng Matt Orie Corner Mohd Harun, 46, pula berkata beliau sangat tertekan dan kecewa dengan kenaikan harga ayam kali ini, kerana perniagaannya sudah teruk terjejas sebelum ini akibat pandemik COVID-19.

“Kerugian akibat pandemik pun belum dapat ditampung, terpaksa pula berdepan masalah baharu (kenaikan harga ayam). Pembekal tidak boleh menaikkan harga ayam sesuka hati kerana memberi kesan besar kepada pengusaha restoran, terutama yang menggunakan ayam sebagai bahan utama dalam menu makanan.

“Sekarang pun boleh dikatakan saya berniaga dalam keadaan rugi…hanya bertahan kerana mengenangkan nasib pekerja sahaja…saya harap sangat isu kenaikan ini dapat dipantau dan diselesaikan segera demi ‘survival’ peniaga dan pekerja restoran,” katanya yang menggunakan hampir 200kg ayam setiap hari untuk dua cawangan restorannya di Kuala Terengganu.

Sharifah Mariam Shariff Along, 42, yang mempunyai lima premis restoran dan katering pula berkata beliau bercadang pergi ke Kelantan sebagai alternatif terakhir, sekiranya harga ayam di Terengganu kekal pada harga RM8 untuk belian borong.

“Harga borong di Kelantan cuma RM5.50…kalau pergi sana saya akan borong 500kg ayam sekali gus dan akan simpan di bilik sejuk beku. Sebelum ini pun memang saya akan borong dari Kelantan sekiranya harga di Terengganu naik mendadak,” kata pemilik katering Pinggan2 dan Restoran Kunyek itu.

Pemilik TY Cafe Food Family & Friends Taoyebah Aziz, 62, pula berkata pengusaha restoran kini berada dalam dilema, sama ada mahu menaikkan harga atau mengecilkan saiz ayam yang dijual.

“Harga makanan sudah ditetapkan dan tidak boleh dinaikkan sesuka hati…mahu atau tidak terpaksa serap kos itu. Cuma bimbang kenaikan yang berterusan akan memberi impak yang teruk kepada perniagaan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Pasar Besar Kedai Payang mendapati harga ayam untuk jualan runcit ialah RM9.50 setiap satu kilogram.

Peniaga memaklumkan mereka terpaksa menjual pada harga itu kerana harga borong yang diperolehi juga mencecah RM8 dan berharap KPDNHEP segera memantau kenaikan tersebut.

— BERNAMA