S. Veerapan

SEREMBAN – Kementerian Kesihatan (KKM) menanggung kos rawatan pesakit bukan COVID-19 yang layak mendapat perkhidmatan di hospital swasta di Negeri Sembilan sebanyak RM593,474 bermula Mei lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar negeri S. Veerapan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) telah memulakan aktiviti penyumberluaran tersebut dan bagi tempoh itu melibatkan 379 kes.

“Pelaksanaan ini mengikut garis panduan perkhidmatan kesihatan ke hospital swasta secara penyumberluaran bagi pesakit selain COVID-19 dari hospital kerajaan di bawah KKM,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

ADUN Repah itu menjawab soalan Mary Josephine Prittam Singh (PH-Rahang) yang mahu penjelasan mengenai sama ada kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan menanggung segala kos rawatan pesakit umum yang dirujuk ke hospital swasta.

Beliau berkata, antara kriteria adalah pesakit merupakan warganegara dan rujukan pesakit ke hospital swasta dilakukan oleh pakar perubatan di hospital kerajaan.

Manakala  kes dirujuk ke hospital swasta seperti kes kecemasan atau semi-kecemasan, kes elektif yang mempunyai masa menunggu yang panjang dan pesakit yang ingin dipindahkan ke hospital swasta perlulah berada dalam keadaan stabil sebelum dipindahkan.

Hospital swasta dipilih melaksanakan prosedur dan rawatan mestilah berlesen di bawah Akta 586 iaitu Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 serta mempunyai jenis kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan yang telah dilesenkan.

Veerapan berkata cadangan menjadikan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban sebagai hospital sepenuhnya merawat COVID-19 tidak dapat direalisasikan.

“Terdapat banyak prosedur rawatan yang kompleks dan berisiko tidak dapat dilaksanakan di hospital daerah dan hospital swasta yang lain, maka HTJ kekal sebagai hospital hibrid COVID-19,” katanya. – MalaysiaGazeyye