Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan diteruskan terutama dalam kajian vaksin untuk manusia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, usaha tersebut turut melibatkan penghasilan peranti perubatan.

Katanya, kerjasama antara kedua-dua kementerian adalah sangat rapat dan penting serta tidak akan terhenti pada akhir Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Kita sudah ada vaksin untuk haiwan tetapi tidak ada vaksin manusia di Malaysia.

“Ini penting untuk kita memastikan jika ada keperluan untuk tahun-tahun mendatang kita tidak perlu lagi berunding dan membeli dari luar negara,” katanya pada program serah terima tugas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Kesihatan, pagi ini.

Khairy berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah memberi tanggungjawab berat kepada MOSTI untuk menghasilkan vaksin bagi manusia.

Katanya, perkara tersebut penting kerana sekiranya ada keperluan pada tahun-tahun mendatang untuk negara, maka Malaysia tidak perlu lagi membeli vaksin.

Lantaran itu, adalah penting kerjasama antara KKM dan MOSTI diteruskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast