Foto Instagram Noorkhiriah.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Noorkhiriah bersyukur usahanya melakukan amal jariah dengan menawarkan perkhidmatan van jenazah diperluaskan apabila dia kini berjaya mempunyai empat buah kenderaan untuk tujuan itu sejak diusahakan lebih setahun lalu.

Pelakon itu hampir hendak menangis ketika mengenang kembali saat awal mengusahakan Pertubuhan Amal Nur By Khiriah bersama suaminya Azfaizul Ahtan kerana pada permulaan mereka hanya memiliki sebuah van jenazah hasil ‘mengorek’ duit Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Menurutnya, dia dan suami juga perlu memikirkan pelbagai cara untuk menggerakkan usaha mereka kerana perkhidmatan yang dijalankan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada waris individu yang meninggal dunia.

“Bila kenang balik rasa nak nangis dik, macam mimpi buat semua ni… Dok borak-borak dengan suami masa Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP 1.0) kerok (keluarkan) duit ASB untuk tukar kereta jadi van jenazah.

“(Tapi) saya terfikir macam mana nak tanggung kos kereta rosak, minyak tol sebab suami buat memang percuma, mandi kafan, solat sampai hantar ke tanah perkuburan, tidak perlu bayar waima seposen,” tulisnya di Instagram.

Kongsi pelakon drama Nur itu, inisiatifnya turut dipermudahkan hingga sekarang apabila ada pihak yang tidak putus-putus menyalurkan sumbangan.

“Dipermudahkan dari mula sampai sekarang, ditambah pula ada yang tak putus-putus menyumbang. Allahu Akhbar, dari satu kes ke satu kes lain, macam-macam jenis cara kematian sampai tak berani buka galeri gambar suami.

“Dari sebuah van jenazah, tup, tup terus empat. Dua daripada empat van berkenaan adalah hasil infak. Terima kasih, Masya-Allah, baiknya, Allah,” katanya.

Kata Noorkhiriah, 42, atas rezeki yang hadir, dia dan suami berikrar akan terus membantu orang ramai tidak kira usia.

“Doa korang yang saya perlukan. Doa adalah senjata orang Mukmin, maka doakanlah @pertubuhanamalnurbykhiriah dipermudahkan Allah untuk membantu mereka yang memerlukan tak kira tua, muda, miskin dan kaya.

“Sampai ke tanah kubur kami hantar, kami akan bantu, itu janji @pertubuhanamalnurbykhiriah. Terima kasih atas rezeki ini semoga Allah pandang usaha kecil kami dan semoga Allah membalas doa kalian,” katanya. – MalaysiaGazette