Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Johor merafak sembah menjunjung kasih terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas keprihatinan dengan situasi rakyat di negeri itu terutama daripada segi proses pengambilan vaksinasi Covid-19.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, ia dapat dilihat pada titah Tunku Ismail sebelum ini yang mahu proses vaksinasi rakyat di Johor dipercepatkan dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

“Pelbagai libat urus dan pertemuan juga dilakukan DYAM Tunku Ismail dalam memastikan kelangsungan dan kelancaran proses vaksinasi Covid-19 di Johor tidak terjejas terutama sekali membabitkan masalah bekalan vaksin sehingga menyebabkan ada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpaksa ditutup.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor bersama beberapa agensi terlibat termasuk gerakan sukarelawan di negeri ini juga tidak putus menggerakkan jentera dalam usaha memastikan kelancaran proses vaksinasi termasuk membawa mereka yang tinggal di pedalaman untuk keluar mendapatkan vaksin.

“Alhamdulillah, sehingga 7 September, negeri Johor mencatatkan 55.7 peratus populasi dewasa lengkap menerima dua dos vaksin, iaitu melebihi 50 peratus daripada jumlah populasi di negeri ini. Satu pencapaian yang baik dan perlu diterus serta dipertingkatkan lagi menjelang Oktober,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Hairi,  Pemuda UMNO Negeri Johor juga mengambil maklum ucapan penggulungan disampaikan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang menekankan  fokus antara lain tentang soal pemulihan ekonomi dan usaha memerangi Covid-19.

Pihaknya juga menyambut baik kenyataan yang dibuat oleh Hasni itu apabila menyatakan kerajaan negeri bersedia secara perlahan-lahan melaksanakan reformasi DUN Johor mengikut keperluan antaranya bagi menubuhkan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas peringkat DUN pada masa hadapan.

“Menteri Besar juga memberi komitmen untuk menjadikan inisiatif ini sebagai usaha yang berkekalan, inilah sikap dan pendekatan berjiwa besar yang tidak boleh dinafikan ada pada pemimpin Datuk Hasni dan diharapkan dengan pendekatan ini barisan Pembangkang Negeri Johor dapat bersama dalam usaha ini tanpa perlu lagi bermain politik,” katanya.

Beliau turut berharap dengan berbekalkan dua contoh teladan dan keprihatinan pemimpin negeri Johor itu mampu membangkitkan semula Johor dan menjadikan negeri tersebut kembali pulih pasca Covid-19.

“Buat semua Bangsa Johor, bulatkan tekad, marilah bersama Kerajaan Negeri untuk sama-sama kita pulihkan negeri Johor serta menang bersama melawan Covid-19 bagi memastikan pemulihan ekonomi, sistem pendidikan, kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini kembali seperti sediakala seperti sebelum adanya pandemik ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette