Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Peralihan ke fasa endemik bukan bermakna negara sudah mengaku kalah dengan wabak Covid-19.

Sebaliknya, kemunculan varian Delta serta pelbagai varian baharu menyebabkan saintis di seluruh dunia mengatakan sukar untuk mencapai imuniti kelompok, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

Justeru katanya, negara menerima hakikat mungkin pengakhirannya adalah peringkat endemik.

“Ini bukan Malaysia saja yang kata, Singapura juga sudah mengatakan bahawa Covid-19 adalah endemik.

“Saya rasa tidak ada negara yang akan mengatakan penerimaan virus SAR-CoV2 ini sebagai endemik sebagai mengaku kalah terhadap pandemik ini.

“Ini hanyalah cara virus ini sudah berevolusi dan bertindak dengan varian baharu, ia bukan mengaku kalah tetapi mengadaptasi dengan realiti di luar,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penerangan untuk kefahaman kepada orang ramai memerlukan sedikit masa termasuk fakta bahawa vaksinasi semata-mata tidak akan melindungi daripada virus.

“Langkah kesihatan awam lain perlu terus dikekalkan melalui prosedur operasi standard (SOP) lebih mudah difahami dan tidak terlalu rumit.

“Saya sebutkan tadi akhir bulan Oktober tetapi ini banyak bergantung kepada apa yang akan berlaku dalam dua bulan akan datang.

“Andaian saya adalah dengan adanya kadar vaksinasi yang tinggi, pada akhir bulan Oktober kita boleh mula peralihan kepada tahap endemik. Bukannya 31 Oktober kita sudah berada dalam endemik tetapi ketika itu bermulanya transisi,” katanya. – MalaysiaGazette