Foto Instagram Nor Farhanah.

KUALA LUMPUR – Isteri pelawak Shahrol Shiro berkongsi tentang kesihatan bayi mereka, Ismail Rifqi yang mengalami masalah buah pinggang kronik dan memerlukan rawatan segera.

Nor Farhanah Syamimi atau lebih mesra disapa Anna berkata, bayi yang berusia lapan bulan itu perlu dirawat segera selepas doktor mendapati dia tidak mempunyai buah pinggang kanan manakala buah pinggang kirinya membengkak.

“Luluh hati Anna bila tengok Ismail sakit. Sayu bila pandang muka Ismail.

“Ismail kena dapatkan rawatan secepat mungkin memandangkan dia hanya ada satu buah pinggang dan ia bengkak,” tulisnya di Instagram.

Anna turut memohon orang ramai mendoakan kesihatan bayinya dan agar segala urusan mereka dipermudahkan.

“Anna mohon jasa baik daripada kalian untuk mendoakan kesihatan anak Anna. Doakan semoga Ismail cepat sihat dan dipermudahkan segala urusan kami.

“Mana tahu atas sebab doa kalian, Allah angkat dan makbulkan doa kalian untuk anak Anna,” katanya yang turut berdoa agar dia dan suami diberi kekuatan untuk menempuhi dugaan itu.

Pasangan itu yang berkahwin pada 2016 turut mempunyai seorang anak sulung, Iskandar Rizqi yang berusia empat tahun.

Selain itu, Shahrol juga mempunyai seorang lagi anak lelaki, Muhd Adam, hasil perkahwinan terdahulu. – MalaysiaGazette