Rodzi (tengah) diberi penerangan oleh Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhamad Fauzi mengenai perincian program berkenaan Combat Tracking Team, Fasiliti Drone dan GEMPITA.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperhebatkan Op Benteng dengan pemantapan sumber manusia dan aset dalam usaha menangani elemen ancaman luar.

Ketua Pengarah MKN, Datuk Rodzi Md. Saat berkata, pemantapan itu penting memandangkan Op Benteng yang beroperasi di seluruh sempadan negara memberikan kesan signifikan dalam jumlah penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk di Johor.

“Saya turun padang meninjau Pos Tanjung Sepang, Kota Tinggi, Johor hari ini untuk melihat sendiri tahap kesiapsiagaan barisan hadapan yang terlibat dalam Op Benteng ini.

“Antara perincian program ini termasuk penerangan berkenaan Combat Tracking Team, Fasiliti Drone dan GEMPITA.

“Saya difahamkan tahap kerjasama inter-agensi bagi Op Benteng di Pos Tanjung Sepang adalah yang terbaik merentasi pelbagai peringkat dan mampu menjadi penanda aras di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran facebook MKN petang ini.

Hadir sama, Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhamad Fauzi Tengku Ibrahim dan Pengarah Keselamatan Johor, Tarmizi Dan.

Rodzi (kanan) dan Tengku Muhammad Fauzi mendengar taklimat mengenai Op Merpati 1 dan juga situasi keselamatan semasa di kawasan Op Benteng.

Dalam lawatan itu, Rodzi telah diberi taklimat oleh Pemangku Panglima 7 Briged, Kol. Asri Shukor dan Pegawai Pemerintah 61 RAD, Lt. Kol. Nor Azlim Nawi@Ismail mengenai Op Merpati 1 dan juga situasi keselamatan semasa di kawasan Op Benteng di kawasan berkenaan.

Pasukan Op Benteng Pos Tanjung Sepang turut mempersembahkan demonstrasi penangkapan PATI yang sangat rumit dan memerlukan ketangkasan, strategi serta usaha bersama inter-agensi yang mantap.

“Semoga usaha kerajaan dalam menangani ancaman luar melalui Op Benteng akan dapat diteruskan melalui kerjasama padu daripada semua pihak,” kata Rodzi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast