Covid-19 death ICU Malaysia
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pertambahan sebanyak 341 kes kematian baharu melibatkan Covid-19 setakat 24 jam lalu dilaporkan.

Angka itu sekaligus menjadikan kes kumulatif  setakat ini berjumlah 19,827 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan,  Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah itu, 300 orang mangsa adalah warganegara manakala 41 orang lagi merupakan warga asing.

“Manakala 102 kes adalah kematian sebelum dibawa ke hospital atau Brought In Dead (BID) yang mana 82 daripadanya mangsa tempatan.

“Seramai 183 orang adalah mangsa lelaki dan 158 lagi adalah wanita.

“Justeru Selangor seperti biasa bukan sekadar mendominasi angka kematian tertinggi mangsa malah turut menyaksikan kematian tiga digit menjadi 102 kes hari ini dan 93 daripadanya kematian di hospital dengan 85 daripadanya warga tempatan dan 60 orang adalah lelaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala enam negeri merekodkan kematian dua angka iaitu Kedah (86), Pulau Pinang (38), Sabah (28), Johor (26), Perak (18) dan Pahang (11).

Enam lagi negeri merekodkan angka kematian satu digit bawah 10 kes iaitu Kelantan (9), Kuala Lumpur (7), Terengganu (5), Negeri Sembilan (4), Sarawak (4) dan Melaka (3).

Dalam pada itu, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Sarawak merupakan empat negeri yang tidak melaporkan sebarang kematian BID hari ini.

Malah daripada 341 kes hari ini, 261 orang daripadanya mempunyai sejarah penyakit kronik.-MalaysiaGazette