Liga Futsal Perdana Malaysia.

KUALA LUMPUR – Giliran Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) pula terpaksa dibatalkan penganjurannya musim ini susulan pandemik Covid-19 selepas saingan Piala Presiden dan Piala Belia menjadi mangsa sebelum ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira situasi semasa berkaitan Covid-19 termasuk membabitkan aspek keselamatan semua pihak termasuk pemain, pegawai dan petugas perlawanan.

“Keputusan ini juga diambil selaras dengan status penganjuran pertandingan yang sehingga kini masih belum mendapat kebenaran rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“FAM turut berasakan bahawa keputusan ini adalah yang terbaik pada ketika ini dan pada masa yang sama memberi lebih ruang kepada setiap pasukan untuk membuat perancangan menghadapi pertandingan ini bagi musim depan.

“FAM ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon kerjasama semua pihak dalam pelaksanaan keputusan dan ketetapan seperti di atas dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pasukan yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha dan perancangan FAM sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette