Abdul Rahman Mohamad menyerahkan bantuan kepada usahawan Mara.

KUALA LUMPUR – Seramai 428 usahawan di negeri Pahang akan menerima moratorium pembiayaan perniagaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM1.66 juta.

Menurut Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, bantuan-bantuan yang dilaksanakan oleh MARA merupakan sebahagian daripada siri bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan melalui Pakej PEMERKASA dan PEMULIH bagi membantu usahawan bumiputera yang terkesan akibat Covid-19.

“Bagi insentif pengecualian sewa dan diskaun sewa 30 peratus, seramai 473 orang penyewa semasa akan menerima manfaat dengan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM733 ribu.

“Manakala bagi penyerahan Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P), sebanyak RM1.175 juta telah diluluskan kepada 34 usahawan dan sebanyak RM600,000 Pelaksanaan Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) diperuntukkan kepada 22 usahawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Abdul Rahman menyerahkan surat moratorium pembiayaan perniagaan MARA serta surat pengecualian dan diskaun sewa kepada penerima menerusi lawatan di negeri Pahang hari ini.

Dalam masa sama, beliau berharap skim-skim bantuan yang disampaikan melalui MARA dapat memberi manfaat kepada usahawan bumiputera selain menjadi pembakar semangat untuk terus menempa kejayaan dalam bidang perniagaan. – MalaysiaGazette