Foto Facebook Kelantan United.

KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan aksi Liga Premier melibatkan Kuching City menentang Kelantan United di Stadium MB Pasir Gudang semalam terpaksa ditunda kerana pandemik Covid-19.

MFL dalam satu kenyataan berkata, dua pemain The Green Deers didapati positif Covid-19 sekali gus menyaksikan perlawanan tersebut ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Keputusan itu dibuat atas persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL apabila mendapati dua pemain Kelantan United telah positif Covid-19 hasil daripada ujian calitan terhadap pemain tersebut.

“Selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM), pegawai dan pemain pasukan Kelantan United akan dikuarantin serta tidak dibenarkan menyertai sebarang aktiviti dalam tempoh tersebut bermula 10 September 2021.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL akan memutuskan tindakan selanjutnya berhubung status perlawanan tersebut dalam masa terdekat,” kata kenyataan tersebut sebentar tadi.

Ini adalah kali keempat saingan Liga Malaysia (Liga M) terpaksa ditangguhkan ekoran pemain positif Covid-19 musim ini selepas terdapat kes melibatkan pasukan Kelantan FC, Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Kuching City sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast