KUALA LUMPUR – Hobi menyimpan senjata tiruan akhirnya memakan diri apabila tiga individu ditahan polis di Jalan Memanda 4 dekat pusat beli-belah Ampang Point, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika kejadian sepasukan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya sedang menjalankan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sebelum melihat sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna kelabu dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 12.15 tengah hari.

“Anggota kemudiannya bertindak menahan dan melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut sebelum menemui sebuah beg berwarna hitam.

“Hasil pemeriksaan lanjut kita telah temui satu objek berwarna hitam menyerupai sepucuk pistol, dua kelopak pistol, satu bekas tin kecil mengandungi biji-biji kecil dipercayai peluru plastik, satu alat laser dan pisau lipat berukuran 19.5 sentimeter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, berdasarkan siasatan yang dijalankan, polis kemudiannya memeriksa salah sebuah rumah suspek di Jalan Berembang di sini kira-kira pukul 5.50 petang.

Katanya, antara barangan yang dirampas termasuklah selaras senjata lengkap menyerupai sniper berwarna hitam, toga botol tin gas dan tiga buah bekas yang mengandungi biji-biji kecil dipercayai peluru.

“Suspek pertama merupakan seorang penghantar berusia 27 dan mempunyai tujuh rekod lampau berkait kesalahan dadah dan tipu.

“Suspek kedua berusia 37 tahun yang bekerja sebagai seorang jurujual manakala suspek ketiga merupakan mekanik berusia 36 tahun dengan satu rekod lampau berkait kes dadah,” ujarnya.

Menurut Mohamad Farouk, siasatan lanjut mendapati pistol tiruan dan kesemua peralatan itu dibeli secara atas talian pada tahun 2019 dengan harga sekitar RM400 yang dijadikan sebagai koleksi dan hobi.

Katanya lagi, kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 14 September.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan. – MalaysiaGazette