Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit berkemungkinan diniagakan dalam persekitaran diasak tekanan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan aktiviti pengambilan untung, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ini susulan peningkatan berterusan ringgit berbanding dolar AS sejak Khamis lepas yang menyaksikannya mengakhiri urus niaga minggu ini pada paras RM4.13.

Pada Jumaat, Indeks Dolar AS dilihat susut kepada 92.371 walaupun tuntutan pengangguran bagi minggu berakhir 4 September lepas, adalah lebih baik daripada jangkaan awal.

Menurutnya, kelewatan berkaitan pembelian aset juga mungkin mendorong peningkatan mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit.

“Oleh itu, pasaran dijangka memantau sama ada unjuran sedemikian akan bertahan walaupun dalam keadaan negara-negara sedang membangun mencatat tahap vaksinasi yang tinggi.

“Lebih penting lagi, bagaimana pencapaian sedemikian dapat diterjemah dalam bentuk pembukaan semula ekonomi yang penting bagi melonjakkan aktiviti berkaitan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, sekiranya itu menjadi kenyataan, maka spekulasi mengenai pembelian aset akan kembali ketara, sekali gus menjejaskan pergerakan dalam pasaran mata wang.

“Pada masa ini, kadar peningkatan ringgit itu adalah memberangsangkan,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi bagi tempoh hampir sepanjang minggu berkenaan apabila dolar AS terus menyusut.

Bagi asas perbandingan mingguan Jumaat hingga Jumaat, ringgit mengukuh ke paras 4.1340/1370 berbanding dolar AS pada Jumaat berbanding 4.1445/1475, seminggu lepas.

Ringgit juga diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang lain berbanding minggu lepas.

Ia meningkat sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.0867/0892 daripada 3.0876/0903 seminggu sebelumnya dan naik berbanding pound Britain kepada 5.7347/7388 daripada 5.7352/7393.

Unit tempatan itu juga mengukuh berbanding euro kepada 4.8934/8970 daripada 4.9195/9231 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7592/7623 daripada 3.7705/7735 pada Jumaat lepas. – MalaysiaGazette