Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyampaikan bakul makanan kepada wakil frontliners PUSARA ketika di Grand Seasons Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 3,500 transgender dari Rumah Prihatin di sini sudah menerima dua dos vaksinasi.

Bagaimanapun, semua mereka dikenalpasti sebagai golongan yang memerlukan perhatian dari segi bantuan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Justeru, Rumah Prihatin@Grand Seasons (Rumah Prihatin) tekad membantu mereka dengan menyediakan makanan bermasak di sekitar ibu kota ini.

Program itu disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa dengan mengagihkan kupon makanan sebagai membantu meringankan beban golongan itu.

Menurut beliau, kupon makanan itu telah diberikan awal pagi ini kepada mereka yang memerlukan supaya tiada yang tertinggal menerima bekalan makanan bermasak yang disediakan Rumah Prihatin.

“Program ini bertujuan untuk menjejaki warga Wilayah Persekutuan yang memerlukan bantuan makanan agar mereka boleh bangkit dari cabaran dan tekanan pandemik Covid-19.

“Antara yang menerima bantuan ini ialah golongan transgender, yang manan kemampuan ekonomi mereka masih sempit disebabkan masa yang diperlukan untuk memulihkan ekonomi mereka sebagai usahawan.

“Selain itu, kupon makanan juga diberikan kepada peniaga kecil sekitar Chow Kit di ibu kota. Mereka turut bersyukur kerana ada badan (NGO) yang sudi menghulurkan bantuan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan bantuan makanan kepada golongan memerlukan @ Rumah Prihatin dan petugas barisan hadapan di Hotel Grand Seasons hari ini.

Menurut Annuar rata-rata golongan itu meluahkan kesyukuran kerana hakikatnya perniagaan mereka belum pulih dari kegawatan yang terpaksa mereka tempuhi, lebih lagi dalam tempoh pemulihan negara ini.

Kata beliau, tidak ketinggalan juga turut diberi kupon makanan kepada gelandangan atau yang terpaksa keluar daru rumah kerana tidak mampu membawa sewa akibat diberhentikan kerja atau mengalami kerugian besar dalam perniagaan sebelum ini.

“Ketika edaran kupon dilakukan, terdapat pihak yang meluahkan kekecewaan kerana belum dapat mengambil vaksin dan ada juga sangat berterima kasih keraja berjaya membantu mereka mendapatkan dua dos vaksin.

“Yang pasti, penduduk sekitar ibu kota Kuala Lumpur ini sangat menghargai kewujudan Rumah Prihatin. Inilah golongan yang sering terpinggir oleh masyarakat dan harus kita santuni,” katanya.

Kata Annuar, program ini turut melibatkan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada petugas barisan hadapan pengurusan jenazah Covid-19 seperti Jabatan Agama Islam, pemandu van jenazah masjid, sukarelawan tanah perkuburan Islam Raudhatul Sakinah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. – MalaysiaGazette