Anthony Loke DAP
Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) telah berbincang dengan semua pimpinan parti pembangkang yang lain berhubung proses rundingan dengan kerajaan.

Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PH, Anthony Loke berkata, petang semalam, satu taklimat khas berkenaan isi kandungan MOU tersebut telah disampaikan kepada Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tegas beliau, wakil Parti Warisan Sabah (Warisan) juga dijemput untuk taklimat tersebut, tetapi mereka tidak hadir.

“Kami difahamkan Parti Pejuang dan Warisan belum bersedia untuk menandatangani MOU tersebut dengan kerajaan. PH menghormati pendirian mereka.

“Justeru, satu kenyataan yang menuduh PH mengetepikan parti pembangkang lain adalah tidak berasas sama sekali,” katanya yang dipetik menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Parti Pejuang Wilayah Persekkutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang melahirkan rasa kesal kepada PH kerana mengetepikan parti itu dan Warisan dalam perjanjian pembekalan dan keyakinan (CSA) dengan kerajaan.

Khairuddin dilaporkan berkata, ketika hendak menamakan calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, pemimpin tertinggi PH datang berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad merayu agar memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pemimpin PH akan merayu, memujuk serta melakukan apa sahaja pada waktu itu demi menjayakan impian mereka yang ‘mustahil’ ke arah memartabatkan ketua pembangkang masa kini sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Kini, apabila hendak berunding dengan kerajaan mengenai senarai pembaharuan yang dicadangkan Perdana Menteri, Anwar bersama pemimpin PH ketepikan Pejuang, Warisan dan Muda yang sama-sama mengundinya sebagai calon pembangkang untuk jawatan perdana menteri.

Mengulas lanjut, Anthony yang juga Setiausaha Organisasi DAP menjelaskan, PH akan terus bekerjasama dengan semua Ahli Parlimen blok pembangkang dalam isu di Parlimen.

Ini ujarnya, termasuk melibatkan Ahli Parlimen Pejuang, Warisan dan Bebas dalam Jawatankuasa Pilihan Khas baru yang bakal ditubuhkan.

Kata beliau, jawatankuasa khas itu adalah sebahagian daripada komitmen yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan dalam MOU yang akan ditandatangani petang ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. PAS dulu pun sudah terkena, sebab itu PAS sudah tidak mahu bersama mereka lagi. Lebih baik semua masuk PN.

Comments are closed.