Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi nekad mahu UMNO menjadi parti politik yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau selaku Presiden UMNO menegaskan, parti itu akan memperoleh mandat kukuh untuk menerajui semula kerajaan sepertimana pernah negara nikmati sebelum ini, sekali gus akan mengembalikan kegemilangannya sebagai wadah untuk rakyat sandarkan kepentingan dan kesejahteraan mereka.

“Untuk tujuan ini, saya perlu fokus dan tidak terlalai, apatah terpengaruh dengan ungkapan yang cuba mengelirukan.

“Segala strategi yang direncanakan haruslah tersusun dan tersisip kemas.

“Wacana ini tidak boleh dikatakan sebagai dahagakan kuasa, sebaliknya fitrah sebagai parti politik mahu diyakini rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Namun, menurut Ahmad Zahid, sejarah telah menyaksikan betapa UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga yang berupaya mengemudi negara.

Katanya, Malaysia telah menyaksikan kegagalan kerajaan 22 bulan mentadbir negara yang akhirnya tumbang dengan sendirinya.

“Begitu juga dengan kegagalan kerajaan 18 bulan menjaga rakyat sehingga memaksa UMNO masuk campur merombak kerajaan itu.

“Senario yang amat berbeza berbanding UMNO dikalahkan dengan propaganda pembohongan tidak bertepi pada PRU14.

“Namun, saya mengerti masih ada usaha mengangkat kisah kekalahan lalu untuk memperlekeh kemampuan UMNO bangkit,” kata beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, realitinya majoriti rakyat telah pun memperakui UMNO tewas PRU-14 pada 9 Mei 2018 adalah angkara fitnah dan tipu daya.

Bahkan, ramai mula membuka mata, negara yang konon akan bankrup di bawah pimpinan UMNO rupa-rupanya tidak begitu.

Malah, segala dasar dan polisi pentadbiran yang dilaksanakan UMNO terserlah tepat lagi telus ke arah kesejahteraan dan kemakmuran yang berpanjangan.

Kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, segala tohmahan terhadap pimpinan UMNO selama ini pula semakin diketahui temberang yang bermatlamatkan pembunuhan watak.

“Yang pasti, UMNO akan teruskan momentum kebangkitan. Sekali melangkah pantang mundur. Demi agama, bangsa dan tanah air. Kepada Allah kita berserah,” ujarnya. – MalaysiaGazette