Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Beberapa lokaliti di Sabah, Pahang dan Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 16 hingga 29 September ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, PKPD dilaksanakan di dua lokaliti di Kota Meradu di Sabah melibatkan Kampung Kirangawa (Darat dan Tengah) dan Kampung Pinatau.

Beliau berkata, selain itu, Kampung Nuntunan Apin-Aping di daerah Keningau, Kampung Lungkidau daerah Ranau, dan Perumahan Pekerja Ladang Boustead Ruku-Ruku di Telupid, Sabah juga dikenakan PKPD dalam tempoh sama.

“PKPD di Pahang dilaksanakan di KampungTementing, Mukim Cheka 1, Lipis, Pahang manakala Kelantan pula di Mukim Batu Mengkebang, Kuala Krai iaitu Kampung Bahagia dikenakan PKPD pada tarikh sama.

“Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) adalah sama seperti diumumkan sebelum ini, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Rodzi, dua lokaliti di Mukim Bebar, Pekan, Pahang iaitu Kampung Badong Dalam dan Kampung Permatang Durian yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan dari 16 sehingga 29 September 2021.

Dalam pada itu, beberapa lokaliti di Sabah akan ditamatkan PKPD bermula esok mengikut jadual iaitu Taman Ria Height di Tawau dan dua lokaliti di Ranau melibatkan Kampung Narawang dan Kampung Mininsalu Baru (Pasir Putih).

Manakala dua lokaliti di Kota Belud, Sabah di Kampung Labuan dan Kampung Ambong Tolus serta Kampung Rampayan Laut yang sepatutnya tamat PKPD pada 18 September diawalkan tempoh tamat PKPD bermula esok. -MalaysiaGazette