Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 18,053 kes sembuh Covid-19 dilaporkan dengan jumlah kumulatif sebanyak 1,764,579 kesemuanya.

Manakala sebanyak 1,266 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 689 kes memerlukan bantuan pernafasan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

“Daripada 15,669 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 283 kes (1.8 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 15,386 kes (98.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, menurut Dr. Noor Hisham, sebanyak 29 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di negara ini dalam tempoh masa 24 jam lalu membabitkan 683 kes.

Daripada jumlah tersebut, 14 daripadanya merupakan kategori kluster tempat kerja membabitkan sebanyak 365 kes diikuti 12 kluster komuniti (232 kes) dan tiga kluster kumpulan berisiko tinggi (86 kes).

Menurutnya, sebanyak empat kluster tempat kerja di kesan di Johor, empat di Perak, masing-masing dua di Selangor dan Pahang serta satu di Pulau Pinang dan Kelantan.

Sebanyak sembilan kluster komuniti dikesan di Kelantan hari ini membabitkan daerah Kota Bharu, Bachok, Pasir Mas dan Tanah Merah manakala dua Sarawak dan satu di Pahang.

Sementara kluster kumpulan berisiko tinggi dicatatkan di tiga negeri iaitu Sarawak, Johor dan Kuala Lumpur.

“Kluster Sawit Lepar Hilir merupakan kluster pekerja-pekerja sebuah ladang yang terletak di Lepar Hilir 5, Kuantan, Pahang. Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang lelaki warga Bangladesh yang dilaporkan positif Covid-19 pada 4 September lalu hasil saringan individu bergelaja dan setakat ini seramai 711 individu sudah disaring dengan 16 dikesan positif wabak tersebut.

“Manakala kluster Taman Industri Prai Baru Dua dikenal pasti hasil saringan bersasar di tempat kerja melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Prai Industrial Park, Seberang Perai Tengah dengan 136 individu telah disaring dan 21 kes positif Covid-19 berjaya dikesan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, kluster komuniti yang dikesan di Kampung Segedup, Kuching, Sarawak membabitkan kes indeks seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dilaporkan positif wabak tersebut pada 3 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Selangor kembali tertinggi, kes Covid-19 melebihi dua juta