M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti jurang pendapatan yang terlalu tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia lebih-lebih lagi dalam kalangan 50 individu terkaya di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, perkara itu sedang diperhalusi dan akan memastikan ia ditangani segera.

“Saya setuju dengan perkara ini. Memang kita tidak pernah alami keadaan seperti ini.

“Kerajaan akan mengambil pelbagai inisiatif dan langkah-langkah supaya dapat mengurangkan situasi ini,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkaitan jurang pendapatan terlalu ketara pada musim Covid-19 ini.

Syed Saddiq berkata, menerusi kajian yang dilakukan, 800,000 daripada satu juta rakyat Malaysia kini menganggur.

“Purata gaji graduan turun sebanyak 18 peratus, gaji pekerja juga turun 10 peratus. Dalam keadaan ini, semua menurun.

“Tetapi ada 50 orang terkaya di Malaysia naik purata kekayaannya sebanyak 14 peratus. Apa tindakan kerajaan?,” soalnya.

Pada Jun lalu, Forbes Malaysia 2021 telah memperlihatkan peningkatan bagi kekayaan kolektif iaitu menokok 14 peratus kepada hampir AS$90 bilion (RM371bil) tahun ini, selepas mencatatkan penyusutan selama dua tahun milik hartawan Tan Sri Robert Kuok.

Forbes berkata, beliau telah diletakkan Senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2021 selepas menerajui empayar hartanah dan komoditi.

Terdahulu, Saravanan menjawab soalan berkaitan isu pengangguran graduan dan belia yang berlaku sejak Covid-19.

“Kementerian telah mengadakan beberapa inisiatif untuk di mana Majlis Pekerjaan Negara memantau strategi pekerjaan masyarakat di mana memastikan pemulihan dan rangsangan dibuat secara menyeluruh.

“Ada banyak peluang pekerjaan telah diwujudkan dengan lima jawatankuasa khas,” katanya. – MalaysiaGazette