Petugas dari pelbagai kaum bergambar sambil memakai pakaian tradisional untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64 dengan memakai pakai Kebangsaan bertemakan kemerdekaan ketika di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Taman Bangi Avenue, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 31 OGOS 2021.

MALAYSIA baru sahaja menyambut ulang tahun ke-64 kemerdekaan dan bakal menyambut Hari Malaysia beberapa hari sahaja lagi. Kemerdekaan biasanya bermaksud pembebasan daripada penjajah. Kemerdekaan juga bermaksud pembebasan daripada prejudis dan ketakutan yang menghalang negara daripada terus maju dan makmur.

Walaupun Malaysia telah mencapai pelbagai kemajuan dalam beberapa dekad yang lepas, kita masih lagi belum merdeka daripada prejudis kaum dan sentimen yang menghalang daripada wujudnya negara yang utuh dan bersatu.

Prejudis dan sentimen kaum tercetus daripada dasar pecah dan perintah penjajah sebelum diteruskan dengan indoktrinasi oleh golongan elit politik selepas merdeka. Konteks sejarah dan sosioekonomi akhirnya membawa kita kepada realiti hari ini – masyarakat yang terancam oleh neo-feudalisme dan politik kumpulan (tribal politics).

Dengan cabaran dari pelbagai sudut, sudah tiba masa untuk rakyat Malaysia membebaskan diri daripada prejudis kaum. Sikap perkauman bukan lahir dengan sendiri sebaliknya diajar menjadi sedemikian (racism is not born with but taught with).
Inilah mesej utama yang cuba dibawa melalui video “Mak, Dah Siap!” yang diterbitkan IKRAM sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

Walaupun mengundang kontroversi, video berkenaan telah meraih reaksi-reaksi positif dan juga negatif. Tidak kurang penting, video berkenaan berjaya mencetus satu perbincangan tentang topik prejudis kaum yang sering cuba dielakkan oleh masyarakat.
Realiti pada hari ini menuntut kita untuk melakukan anjakan dalam cara mendidik generasi muda. Ibu bapa, masyarakat, media, tokoh dan pempengaruh dan institusi pendidikan berperanan besar dalam mendidik generasi muda dengan nilai-nilai murni, di dalam dan juga di luar bilik darjah.

Intervensi-intervensi bersesuaian hendaklah diperkenalkan pada waktu yang tepat apabila isu perkauman timbul. Sebagai contoh, mekanisme mediasi hendaklah diwujudkan di peringkat negeri dan kebangsaan. Negara kita perlu mewujudkan platform yang sesuai untuk perbincangan berkenaan prejudis kaum pada semua peringkat walaupun topik ini agar sukar.

Melalui perbincangan yang jujur dengan semua pemegang taruh, kita boleh mencapai jalan tengah untuk kebaikan bersama. Dengan nilai-nilai murni yang dikongsi bersama, sebuah negara yang utuh dan bersatu padu dapat dibina. Untuk mewujudkan perbincangan yang matang dan berhasil, kepimpinan di peringkat kebangsaan, negeri dan komuniti setempat perlu dilatih dalam menguruskan kepelbagaian.

Pendekatan ‘behavioural insights’ berdasarkan psikologi membuat keputusan boleh
dilaksanakan untuk memahami reaksi anggota masyarakat berhubung isu atau permasalahan yang melanda. Dengan intervensi yang mengambil kira pengetahuan tentang tingkah laku manusia, sebahagian permasalahan dalam masyarakat akan dapat ditangani.

Apa yang penting, pemimpin perlu menyedari kepelbagaian isu yang melanda masyarakat yang dipengaruhi faktor domestik dan luaran, termasuk perkembangan teknologi.
Kita semua harus menyedari bahawa formula yang berjaya pada masa lepas tidak semestinya dapat dipakai lagi dalam konteks semasa memandangkan perubahan pesat yang seringkali bersifat kabur dan mengelirukan.

Isu-isu perkauman agak mudah untuk melarat melalui media sosial. Generasi muda pula
melalui pengalaman dan realiti yag berbeza berbanding generasi yang terdahulu.
Rakyat Malaysia seharusnya menuntut agar pemimpin kita memberi keutamaan kepada
permasalahan yang menimpa rakyat. Pemimpin juga perlu mengambil pendekatan yang inklusif dengan melibatkan semua pemegang taruh.

Dengan pandemik Covid-19 yang mendedahkan pelbagai isu yang dihadapi oleh masyarakat, sudah tiba masa untuk kita memberi perhatian yang lebih serius untuk menangani isu-isu berkenaan, seperti permasalahan berkaitan perpaduan nasional dan kemiskinan. Jika permasalahan-permasalahan berkenaan tidak ditangani dengan baik, negara kita tidak akan mampu maju ke hadapan dan mewujudkan kemakmuran untuk semua. Malahan, permasalahan tersebut boleh mengancam keutuhan masyarakat di negara ini.

Badlishah Sham, Timbalan Presiden IKRAM
Mohammad Abdul Hamid, Perunding polisi awam