Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Klang, Maimunah Mustaffa menyantuni murid-murid yang kehilangan ibu dan bapa akibat COVID selepas selesai Program Jalinan Kasih Kami Prihatin ketika di Pejabat Pendidikan Daerah Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2021.

KLANG – Seramai 213 pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan sekitar Parlimen Klang yang kehilangan ibu bapa akibat jangkitan wabak Covid-19 baru-baru ini mendapat pembelaan sewajarnya daripada Perikatan Nasional (PN), hari ini.

Naib Ketua Bersekutu Bersatu Bahagian Klang, Datuk Tan Seng Huat berkata, pihaknya amat memahami penderitaan rakyat yang terkesan dengan Covid-19, apatah lagi melibatkan anak-anak di bawah umur yang kehilangan tempat bergantung.

“Kami memberi sumbangan berupa bakul makanan, beg serta alat tulis dan bantuan kewangan daripada seorang penaja, Datuk Tan Kin San

“Semasa penyampaian sumbangan tersebut saya nampak jelas pelajar-pelajar yang hadir kita nampak kasihan, dan terjejas (emosi).

Naib Pengerusi Bersekutu BERSATU Klang, Datuk Tan Seng Huat bercakap kepada media selepas selesai Program Jalinan Kasih Kami Prihatin ketika di Pejabat Pendidikan Daerah Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2021.

“Kita pun dapat merasakan bagaimana kehidupan mereka selepas kehilangan kedua ibu bapa atau salah seorang penjaga,” katanya pada sidang media selepas Program Jalinan Kasih Kami Prihatin (Fasa 1) di Pejabat Pendidikan Daerah Klang, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Klang, Maimunah Mustaffa; Ketua Bersatu Bahagian Klang, Shahfizul Shaarani; Ketua Dewan Pemuda Pas Klang, Solihuddin Mohd Jaafar serta Ketua Dewan Muslimat Pas, Noraini Hussin.

Sementara itu, Yang DiPertua Pas Klang, Khalid Nayan berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda negara, semakin ramai anak kecil menjadi yatim piatu apabila kehilangan ibu bapa atau salah seorang penjaga mereka.

“Kita cuba untuk meringankan kehidupan dengan sedikit bantuan daripada parti-parti komponen PN dan badan-badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Katanya lagi, menerusi bantuan itu juga bukan sahaja mengeratkan hubungan pemimpin dengan masyarakat bahkan menambah baik hubungan dalam kalangan PN.

“Dengan cara ini kita dapat bekerjasama untuk terus memberi bantuan-bantuan kepada penduduk-penduduk dalam Parlimen Klang.

“Kita dapat merasakan bagaimana kehidupan mereka dan kita dapat berkongsi sedikit rezeki kepada mereka yang terkesan dengan Covid-19,” katanya lagi. – MalaysiaGazette