Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah South African B.1.351 Covid-19 variant
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 25 kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini dengan jumlah kumulatif kluster sebanyak 5,207 kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kluster baharu itu, 14 adalah kluster kategori Tempat Kerja membabitkan jumlah kes positif sebanyak 354 kes.

“Manakala tujuh lagi adalah kluster kategori Komuniti membabitkan 197 kes Covid-19, diikuti dua kumpulan berisiko tinggi (60 kes)dan masing-masing satu kluster pendidikan dan keagamaan.

“Daripada 14 kluster tempat kerja yang dilaporkan, empat telah dikesan di negeri Selangor memabitkan daerah Klang, Kuala Langat, Petaling dan Sepang diikuti satu kluster kerja di daerah Kinabatangan, Sabah.

“Empat lagi kluster kerja dikesan di Johor membabitkan daerah Muar, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kulai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, lima kluster kerja dikesan masing-masing dua di Seberang Perai Selatan dan Tengah di Pulau Pinang; dua di Kinta Perak dan satu di Melaka Tengah.

Menurut Dr. Noor Hisham, tujuh kluster Komuniti dikesan masing-masing tiga di daerah Bau dan Pakan, Sarawak dan tiga lagi kluster dikesan di Pasir Mas, Kota Bharu dan Bachok manakala satu di Lipis, Pahang.

“Dua kluster berisiko tinggi pula dikesan di Klang dan Johor Bahru, Kluster pendidikan dikenalpasti di Sik Kedah dan Kluster Keagamaan dikesan di Pasir Mas Kelantan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 3,783 kluster telah ditamatkan dan 1,424 kluster aktif dilaporkan. – MalaysiaGazette