Keadaan Sungai Pisang yang menjadi tumpuan orang ramai pada minggu lalu.

KUALA LUMPUR – Semua pengusaha pelancongan di kawasan rekreasi untuk memandang serius dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang masih berkuatkuasa memandangkan ramai yang mengambil peluang untuk bercuti hujung minggu dengan bersesak-sesak di kawasan rekreasi.

Pematuhan SOP seperti menyediakan daftar MySejahtera, pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair nyahkuman dan lain-lain lagi perlu dipandang serius oleh pengusaha pelancongan kerana tidak mahu wujud kluster baharu disebabkan kealpaan sendiri.

Persatuan Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA) yang sangat terkejut dengan video dan gambar yang tular di media social berkaitan keadaan yang sesak di kawasan rekreasi eko-pelancongan di sekitar Selangor pada hujung minggu lalu menegaskan negara ini belum menang dalam menangani pandemik Covid-19.

”Jadi jagalah peluang ini dengan menjaga diri dan keluarga kita. Elakkan tempat yang sesak jaga penjarakan fizikal,” kata Presiden SAFTTA, Fathir Badri Alhadad.

Tegasnya, masyarakat di negara ini telah lama terkurung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan, lantaran itu tidak mahu perkara yang sama berulang lagi dan akan mengakibatkan pengusaha pelancongan sendiri yang akan mengalami kerugian kerana tidak dapat berniaga.

”Kami juga ingin mengingatkan para pengunjung kawasan rekreasi supaya lebih berwaspada dantidak singgah di tempat-tempat yang sesak untuk melakukan riadah bersama keluarga.

”Carilah tempat yang tidak sesak kerana di Selangor ini banyak lokasi eko-pelancongan seperti di Hulu Langat dan Hulu Selangor boleh dikunjungi,” katanya sambil menyarankan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tourism Selangor memainkan peranan penting dengan menambah iklan dan billboard peringatan pematuhan SOP di sepanjang kawasan rekreasi. – MalaysiaGazette