Gambar hiasan

KUALA LUMPUR Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) meminta semua mahasiswa tidak kira tahun dan status vaksinasi mereka diberikan kelonggaran untuk memutuskan sama ada mahu memasuki kampus atau tidak atas sebab kesihatan dan keselamatan diri mereka.

Ini memastikan agar lebih banyak bilik di kolej kediaman diberikan kepada mahasiswa yang berkeperluan seperti mahasiswa yang menjalani Projek Tahun Akhir (FYP) atau mereka yang sedang menghadapi masalah Internet di rumah untuk kembali ke kampus.

Bagaimanapun, KMUM mencadangkan tempoh kemasukan bagi pelajar berkeperluan dijadualkan antara 1 Oktober hingga 31 Oktober untuk memastikan mereka dapat melakukan persediaan pulang ke kampus.

KMUM juga akan merangka inisiatif susulan untuk memperoleh senarai pelajar berkeperluan ini untuk memastikan mereka mendapat penempatan di kolej kediaman.

KMUM juga bersetuju mod pembelajaran untuk tahun akademik berikutnya harus bersifat hibrid untuk mengurangkan risiko jangkitan dan pada masa yang sama menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar berkeperluan.

Walaupun begitu, KMUM menggesa supaya pihak pengurusan fakulti membuat pengumuman mengenai mod pembelajaran pada hari ini juga untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan mahasiswa.

Pengurusan fakulti juga perlu mengadakan perbincangan bersama wakil pelajar fakulti untuk memastikan bahawa SOP kemasukan pelajar adalah jelas.

Tambahnya, semua pelajar yang memasuki kampus perlu menjalani sekurang-kurangnya dua ujian RTK tanpa mengambil kira status vaksinasi mereka. Bayaran ujian RTK tersebut harus ditanggung sepenuhnya oleh pihak universiti.

KMUM menggesa agar kit ujian swab diberi secara percuma kepada para pelajar semasa Minggu Orientasi (MHS) tanpa sebarang kos tambahan dimasukkan dalam yuran MHS.

Pelajar yang belum menerima vaksin mesti diaturkan untuk mendapatkan vaksin mereka di PPV UM secepat mungkin selepas kemasukan.

Bagi pelajar antarabangsa dan pelajar Sabah dan Sarawak, KMUM menegaskan mereka harus diberikan subsidi untuk menampung kos tiket penerbangan kerana notis yang dikeluarkan adalah secara tiba-tiba yang menyebabkan mereka tidak dapat membeli tiket pada harga yang lebih murah.

Pihak pengurusan fakulti juga harus mengeluarkan notis khas dalam Bahasa Inggeris bagi pelajar antarabangsa untuk menasihati mereka sama ada mereka perlu kembali ke kampus atau tidak.

Hal ini kerana mereka memerlukan tempoh masa yang lebih daripada sebulan untuk mendapatkan visa pelajar mereka.

Pelajar antarabangsa juga mesti dibenarkan untuk dikuarantin di kolej kediaman dan bukannya di hotel kerana kos kuarantin di hotel amat membebankan mereka.

KMUM juga berkata, bilangan penerbangan dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia perlu ditingkatkan untuk memudahkan pergerakan pelajar.

Pada masa sama, KMUM menggesa agar Pelan Pemulihan Pendidikan Pengajian Tinggi diumumkan secepat mungkin agar dapat memberikan masa yang mencukupi kepada para pelajar untuk menyelaraskan dan menyelesaikan persiapan mereka.

KMUM akan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap dasar universiti dan kerajaan sekiranya pelan tersebut dikeluarkan dengan mengambil kira kebajikan dan kepentingan mahasiswa serta mahasiswi, ujarnya. – MalaysiaGazette