Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) memperkukuhkan kerjasama melalui simbolik penyerahan surat pertukaran niat hari ini.

UPM-YPM adalah kerjasama strategik bersandarkan kepada kepakaran dan pengalaman penyelidikan oleh ahli akademik di Fakuti Ekologi Manusia (FEM).

Ia bagi membantu YPM mencapai matlamat penubuhannya sebagai yayasan unggul dalam memperkasa taraf pendidikan dan sosio ekonomi bangsa Melayu dan Bumiputera.

Menurut Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, tiga bentuk kerjasama telah dikenal pasti, antaranya kerjasama dalam perkara berkaitan penyelidikan dan inovasi yang menyumbang kepada keberkesanan dan impak pelaksanaan program pembiayaan pendidikan oleh YPM.

Katanya, kerjasama juga dilakukan dalam memperkasa potensi penerima bantuan skim dan program YPM seperti Skim Anak Angkat, Program Tuisyen dan Skim Pendidikan Tertiari serta kerjasama pemindahan ilmu berkaitan kenegaraan, perancangan strategik, penjenamaan dan visibiliti kepada pegawai dan staf YPM.

“Kerjasama ini selari dengan peranan universiti sebagai Menara Ilmu yang dapat memanfaatkan kewujudannya kepada pihak berkepentingan di luar.

“Kedudukan UPM sebagai universiti penyelidikan terkemuka di negara sewajarnya dapat merancakkan lagi proses pemindahan ilmu dan kepakaran untuk pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Majlis yang diadakan di Bilik Lembaga UPM itu dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Mohd Amran Mohd Ariffin; Dekan Fakulti Ekologi Manusia UPM, Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri; dan Ketua Perunding Kajian Impak YPM, Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain.

Dr. Mohd Nizar Sudin

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin berkata, simbolik penyerahan surat pertukaran niat itu akan membuka banyak lagi kerjasama dengan UPM pada masa akan datang.

Sebelum ini, katanya, penyelidik UPM telah dipilih untuk membuat kajian impak bagi menambah baik kualiti termasuk tahap kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan program YPM seperti Skim Anak Angkat, Program Tuisyen dan Skim Pendidikan Tertiari.

Kajian seumpama itu, jelasnya lagi dapat membantu YPM membuat langkah intervansi bagi meningkatkan keupayaannya sebagai sebuah yayasan yang dinamik. – MalaysiaGazette