KUALA LUMPUR – Skuad hoki senior lelaki akan kembali menguji taring di London kira-kira sebulan bagi mengharungi Siri Jelajah United Kingdom 2021 selepas hampir dua tahun tanpa sebarang kejohanan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, skuad bimbingan Arul Selvaraj itu dijadual berlepas Ahad ini dan berada di sana sehingga 22 Oktober.

Seramai 23 pemain akan menyertai siri jelajah ini termasuk tiga penjaga gol, tujuh pemain pertahanan, lapan pemain di posisi tengah dan lima pemain di bahagian serangan.

Senarai berkenaan turut menyaksikan tiga pemain yang sebelum ini membantu Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan iaitu Muhammad Shafiq Hassan (pertahanan), Shello Silverius (penyerang) dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (penyerang) berada dalam skuad senior kekal berada dalam kelompok itu sehingga sesi pemilihan baharu.

“Sebanyak 10 perlawanan diatur buat skuad negara sepanjang mereka di sana. Ini termasuk empat perlawanan menentang pasukan kelab dan tujuh perlawanan menentang pasukan kebangsaan seperti Ireland, Wales, dan Perancis,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Perlawanan itu akan digunakan oleh Arul bagi menilai prestasi skuad bimbingannya termasuk melihat di mana tahap pasukannya setakat ini.

Selain itu, Siri Jelajah United Kingdom turut dijadikan antara siri persediaan skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 yang juga perlawanan kelayakan Hoki Piala Dunia 2023.

Senarai 23 pemain ke Siri Jelajah United Kingdom 2021
Penjaga gol
1. Muhammad Hafizuddin Othman
2. Adrian Andy Albert
3. Mohammad Hairi Abdul Rahman
Pertahanan
1. Muhammad Razie Abdul Rahim
2. Muhammad Marhan Mohd Jalil
3. Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan
4. Muhammad Aminuddin Mohd Zain
5. Muhammad Azri Hassan
6. Muhammad Najmi Farizal Jazlan
7. Muhammad Shafiq Hassan
8. Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi
Tengah
1. Faiz Helmi Jali
2. Muhamad Ramadan Rosli
3. Mohamad Ashran Hamsani
4. Meor Muhammad Azuan Hassan
5. Zulpidaus Mizun
6. Muhammad Najib Abu Hassan
7. Faizal Saari
8. Norsyafiq Sumantri
Penyerang
1. Muhammad Firhan Ashaari
2. Muhammad Shahril Saabah
3. Shello Silverius
4. Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal – MalaysiaGazette