Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selesai menyerahkan bakul sumbangan makanan asas Program Prihatin Rakyat kepada wakil penerima ketika di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2021.

SUBANG – Semua ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin politik yang mempunyai sumber kewangan kukuh perlu menyediakan dana peribadi untuk membantu rakyat yang dalam kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19.

Penegasan itu dinyatakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar mereka tidak terlalu bergantung kepada dana atau sumber bantuan kewangan daripada kerajaan semata-mata.

“Beberapa kali saya menekankan kepada semua ahli Parlimen, ADUN dan pemimpin politik, selain sumbangan diterima daripada kerajaan, setiap mereka mesti wajib mengeluarkan dana peribadi sendiri untuk membantu rakyat.

“Mereka bukan saja dapatkan wang dari kerajaan atau derma daripada pihak lain malah harus menunjukkan contoh yang baik dengan menyumbangkan dana sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis pelepasan Jentera Peduli Nadi Rakyat di ibu pejabat PKR hari ini.

Turut hadir pada majlis anjuran Anwar Ibrahim Club itu ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Jentera Peduli Nadi Rakyat akan menjelajah seluruh negara bermula di Pulau Pinang dan Kedah untuk menyampaikan bantuan makanan dan bahan mentah seperti ayam segar kepada rakyat yang memerlukan.

Menurut Anwar yang juga Pengerusi Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH), sebagai wakil rakyat, mereka bukan sahaja membawa usul, menerima pandangan dasar serta memberi teguran tetapi memberi khidmat yang terbaik.

Kata beliau, menerusi program Jentera Peduli Nadi Rakyat telah dilakukan sejak setahun lalu dengan kutipan dana daripada sumbangan peribadinya, individu dan pihak syarikat.

“Walaupun program ini dilakukan secara bersendirian dengan anak-anak muda Angkatan Muda Keadilan (AMK) namun ia juga harus menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan negeri untuk diselenggarakan dengan suntikan dana khas.

“Ini bagi membantu keluarga B40 dan M40 yang terkesan dengan pandemik ini,” katanya.

Mengenai Perjanjian Prsefahaman (MOU) Demi Rakyat yang ditandatangani antara blok pembangkang dengan kerajaan baru-baru ini, Anwar berkata, pihaknya telah mengemukakan usul supaya kerajaan meluluskan peruntukan kira-kira RM45 bilion khusus untuk mengurangkan beban rakyat.

Jelas beliau, pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) juga meminta kerajaan persekutuan mengecualikan kadar faedah moratorium, selain dana itu untuk menyediakan makan minum, kesihatan dan pendidikan. – MalaysiaGazette